Tunggakan sewa rumah PPR di bawah DBKL cecah RM70 juta

Tunggakan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini mencecah RM70 juta, sekali gus menjejaskan kerja penyelenggaraan dan pengurusan kemudahan di kawasan terlibat.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, DBKL sedang melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan tunggakan.
Ia termasuk pemotongan bekalan air, pengeluaran notis, program advokasi kewangan dan pelan rundingan pembayaran.
Katanya, kutipan sewa penting bagi memastikan hasil tersebut dapat disalurkan semula kepada penduduk dalam bentuk perkhidmatan yang lebih baik.
Dalam masa sama, DBKL turut mempertimbangkan untuk menjual unit-unit PPR dan PA kepada penyewa yang benar-benar berkemampuan, walaupun penjualan itu dibekukan sejak 2015.