Tuntutan Palsu Penginapan Hotel; SPRM Tahan Pembantu Tadbir Kewangan

KOTA KINABALU: Seorang pembantu tadbir kewangan sebuah jabatan kerajaan negeri Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM20,000.
Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu ditahan sekitar jam 10 pagi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Siasatan awal mendapati suspek mengemukakan 23 resit tuntutan penginapan hotel atas nama empat individu, walaupun mereka tidak pernah menginap di hotel berkenaan. Resit palsu itu dipercayai dibuat menggunakan aplikasi dalam talian dan melibatkan beberapa hotel di negeri ini.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Suspek didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini.