Malaysia

Universiti Cyberjaya perketat prosedur keselamatan susulan kematian pelajar

Universiti Cyberjaya memberi jaminan akan memperketatkan lagi langkah keselamatan di kampus serta kediaman pelajar susulan insiden kematian seorang pelajarnya di sebuah unit kondominium yang disediakan pihak universiti.

Memetik laporan Free Malaysia Today, pihak universiti melahirkan rasa dukacita atas kejadian tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh komuniti universiti.

Institusi itu menegaskan bahawa keselamatan pelajar, keluarga mereka serta komuniti sekitar kekal sebagai keutamaan.

Selain langkah keselamatan sedia ada, pihak universiti juga sedang bekerjasama rapat dengan pakar keselamatan bagi menambah baik prosedur kawalan keselamatan kampus dan kediaman pelajar.

Universiti turut memaklumkan bahawa mereka memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Orang ramai dan pihak media turut diminta untuk menghormati privasi keluarga mangsa serta mengelak daripada membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

Terdahulu, mangsa seorang pelajar wanita berusia 20 tahun dari Kuching, Sarawak, ditemui tidak sedarkan diri di unit kondominium Mutiara Ville oleh rakannya pada pagi 24 Jun dengan kesan kecederaan pada tubuh.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman mengesahkan punca kematian akibat hentakan kuat di kepala, namun tiada kesan kecederaan berkaitan serangan seksual ditemui.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker