Wanita alami penyakit ‘rare’, badan bau busuk walau mandi berkali-kali

Carmen Davies, 29 tahun dari Manchester, menghidap penyakit genetik jarang dikenali sebagai Trimethylaminuria (TMAU) atau fish odour syndrome, yang menyebabkan badannya mengeluarkan bau busuk seperti ikan, telur busuk, air kencing dan najis.
Bau itu tetap bersamanya walaupun selepas mandi, memakai minyak wangi atau menggosok gigi.
Penyakit ini menyebabkan tubuhnya tidak dapat memecahkan bahan kimia tertentu dalam makanan seperti ikan dan telur, lalu menghasilkan bau kuat yang keluar melalui peluh, nafas dan air kencing.
Keadaan ini memberi kesan besar terhadap keyakinan diri, menyebabkan masalah kesihatan mental, menyukarkan pencarian kerja, dan malah menghalangnya menghadiri majlis keluarga seperti pengebumian sepupunya.
Carmen mula menyedari masalah ini sejak usia 18 tahun semasa di kolej, namun pada awalnya disalah anggap sebagai isu kesihatan mental.
Selepas bertahun menuntut jawapan, dia akhirnya didiagnos secara rasmi pada tahun 2023.
Tiada rawatan khusus untuk penyakit ini, tetapi simptom boleh dikurangkan melalui pemakanan. Iaitu dengan mengelakkan daging merah, sayuran hijau dan makanan proses.