
Padang terap, Sept 28 – Seorang wanita berusia 48 tahun dan anak lelakinya dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika banjir kilat di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, Padang Terap hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Salmah Md Zain dan anaknya Muhammad Rosman Rohaidi, 19, dipercayai berpegang pada sebatang pokok sebelum dihanyutkan arus deras.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang Aminuddin Mad Khozari berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.29 pagi, dan pasukan penyelamat dikerahkan tidak lama kemudian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan menggunakan bot aluminium,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dilaporkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih dua jam malam tadi.