Wanita Ditahan Disyaki Buang Bayi dalam Beg Plastik

KANGAR:
Polis menahan seorang wanita yang disyaki membuang seorang bayi perempuan yang ditemui dalam beg plastik beralaskan kain sarung di hadapan sebuah rumah di Simpang Empat pada 19 Jan lalu.
Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Yusop, berkata wanita berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu ditahan pada jam 2.55 pagi semalam.
Beliau memaklumkan bahawa wanita tersebut tinggal bersama empat anaknya yang masih kecil, manakala suaminya sedang menjalani pemulihan di pusat rawatan dadah. Dia dipercayai melahirkan bayi itu sendirian di dalam tandas sebuah rumah di Simpang Empat sekitar jam 6.30 petang pada 18 Jan.
“Kira-kira jam 4.30 pagi keesokan harinya, dia dipercayai telah pergi ke sebuah restoran di Kampung Rama untuk meninggalkan bayi tersebut dengan menaiki kereta milik rakannya,” katanya dalam satu kenyataan.