Wanita ditidurkan selepas parah disimbah petrol oleh teman lelaki

Seorang wanita parah selepas disimbah petrol dan dibakar teman lelakinya dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Simpang Renggam, awal pagi Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh memaklumkan, mangsa berusia 37 tahun itu kini ditidurkan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom akibat kecederaan serius.
Suspek berusia 44 tahun yang turut membakar dirinya sendiri juga berada dalam keadaan sama selepas melecur teruk.
Kejadian berlaku sekitar jam 5.46 pagi ketika suspek menarik mangsa keluar dari sebuah bas sebelum menyimbah petrol ke atas kedua-duanya dan menyalakan api.
Seorang lelaki berusia 30-an yang cuba membantu mangsa turut cedera dengan melecur di tangan dan kaki. Ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan segera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.