Wanita diuji kehilangan suami, anak tiga bulan pada satu masa

Seorang wanita diuji kehilangan suami dan bayi lelakinya yang berusia tiga bulan dalam satu kejadian tragis di rumah mereka di Melaka, pagi semalam.
Insiden berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika suaminya yang berada di rumah menjaga bayi mereka dipercayai mengalami serangan jantung secara tiba-tiba.
Dalam keadaan tidak sedar, tubuh lelaki itu dikatakan tertindih ke atas bayinya yang sedang tidur, menyebabkan bayi tersebut lemas.
Wanita berusia 40 tahun itu dikatakan baru pulang ke rumah untuk membawa anaknya mendapatkan suntikan imunisasi tiga bulan, sebelum menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil.
Bayi berkenaan masih bernyawa ketika ditemui, namun dalam keadaan sangat lemah.
Kedua-dua mereka segera dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, namun bayi tersebut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala suaminya disahkan meninggal di lokasi kejadian.
Laporan penuh bedah siasat masih ditunggu bagi mengesahkan punca kematian kedua-dua mangsa.