
Kuala Lumpur, Julai 3 – Seorang wanita tempatan kerugian sebanyak RM1.6 juta selepas terperdaya dengan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud menerusi satu laman sesawang.
Menurut Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin, kejadian itu berlaku selepas mangsa yang berusia 49 tahun melihat iklan berkaitan kejayaan kewangan seorang lelaki menerusi satu laman web pada Disember tahun lalu.
Katanya wanita itu, tertarik dengan iklan berkenaan kemudian bertindak mengisi borang itu menerusi laman web berkenaan sebelum dihubungi oleh individu melalui aplikasi WhatsApp.
Mangsa kemudian dijemput masuk ke satu kumpulan WhatsApp yang berkaitan urusan saham oleh individu berkenaan dan selepas tiga bulan, mangsa sekali lagi dijemput masuk ke satu kumpulan WhatsApp lain.
“Mangsa kemudiannya diajar oleh beberapa individu untuk memulakan pelaburan dengan membuat pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan mangsa terpedaya selepas dijanjikan pulangan lumayan dianggarkan bernilai RM90 juta dalam waktu yang singkat dan apabila mangsa tidak menerima pulangan pelaburan yang dijanjikan, dia bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.