Wanita Rugi RM217,000 Ditipu Sindiket ‘Love Scam’

Seorang wanita berusia 41 tahun kerugian RM217,080 selepas terjerat dalam sindiket ‘love scam’ yang menjanjikan hadiah mewah bernilai RM4 juta.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa mengenali suspek melalui aplikasi media sosial pada bulan lalu, di mana lelaki itu mendakwa sebagai warganegara Switzerland dan bekerja sebagai pramugara.
Selepas seminggu berkenalan, suspek menjanjikan hadiah berupa wang tunai, barang kemas, telefon bimbit, dan kasut, yang menarik perhatian mangsa.
“Pada 27 Disember, mangsa dihubungi seorang lagi suspek yang menyamar sebagai ejen penghantaran hadiah, meminta bayaran untuk sijil pengubahan wang haram, duti import, dan insurans,” katanya.
Mangsa membuat 48 transaksi ke akaun suspek tetapi tidak menerima hadiah yang dijanjikan, menyedari dirinya ditipu lalu membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.