Uncategorized

Warden kenal siapa pembuli, malah diwakilkan sebagai ‘pembantu’ jaga pelajar – Pakar kriminologi

Isu buli di asrama sekolah didakwa semakin serius akibat segelintir warden yang dikatakan sengaja menutup mata terhadap aktiviti pelajar bermasalah, malah ada antara mereka dipercayai menjadikan ketua buli sebagai ‘pembantu’ dalam pengawasan pelajar lain.

Pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim, mendedahkan warden sebenarnya mengetahui identiti pelaku buli tetapi gagal mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam banyak kes, pelajar yang dikenali sebagai ketua pembuli diberi tanggungjawab mengawal rakan sebaya, membuka ruang untuk penyalahgunaan kuasa.

“Bila warden beri kuasa kepada ketua pembuli ini, secara tidak langsung mereka memberi kelonggaran untuk aktiviti buli berterusan,” katanya.

Shahul turut menjelaskan, sistem pengambilan warden yang tidak sistematik turut menyumbang kepada masalah itu.

“Kerana majoriti warden-warden ini merupakan golongan guru-guru. Daripada guru-guru yang menjaganya warden ini. Kadang-kadang mereka pun terpaksa.

“Pada sebelah siang, mereka akan mengajar sekolah dan sebelah malam pula mereka perlu menjalankan tugas sebagai warden. Jadi mereka mungkin letih dan sebagainya dan terlelap. Buli ini berlaku sebab itu juga.

“Pelajar tengok warden tiada buat rondaan, mereka mulakan aktiviti membuli. Ini yang berlaku kerana warden ini sebenarnya yang paling rapat dengan mangsa-mangsa,” jelas beliau ketika dihubungi Telus Malaysia pada Selasa.

Sementara itu, cadangan penggunaan pesara tentera sebagai warden dianggap boleh membantu dari segi disiplin, tetapi menurut Shahul, pendekatan terlalu bersifat ketenteraan yang tidak sesuai untuk pengurusan pelajar.

Beliau juga mencadangkan beberapa langkah segera, termasuk audit menyeluruh sistem pengawasan asrama, penubuhan saluran aduan khas untuk pelajar, dan penglibatan pihak polis dalam pemantauan berkala.

Katanya, garis panduan khusus perlu disediakan supaya disiplin diterapkan tanpa menjejaskan hak dan keselamatan pelajar.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker