Warga Bangladesh jadi prebet sapu di KL, ditahan JPJ

Dua warga Bangladesh antara tiga yang ditahan dalam Operasi Prebet Sapu yang digerakkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sekitar pusat bandar, baru-baru ini.
Menurut Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam, ketiga-tiga kenderaan berkenaan dipandu dua lelaki warga Bangladesh dan seorang warga tempatan sebelum tindakan saman dikeluarkan kepada pemandu serta pemilik kenderaan.
Operasi yang dijalankan Unit Operasi dan Falcon JPJ WPKL bermula Isnin lalu turut mengesan pelbagai kesalahan termasuk salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada lesen pengendali dan kesalahan teknikal.
Katanya, tindakan saman adalah mengikut peruntukan di bawah Seksyen 80 dan Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, penguatkuasaan adalah langkah terakhir selepas advokasi dan khidmat nasihat diberi terlebih dahulu bagi memastikan orang ramai tidak mengambil ringan tentang keselamatan jalan raya.