Waris anggota FRU terima pampasan sehingga RM269,700

Waris sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampan akan menerima pampasan antara RM58,000 hingga RM269,700.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pampasan itu melibatkan pelbagai skim termasuk Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN), Tabung Kebajikan PDRM, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja dan insurans Koperasi PDRM.
Bantuan TAPPN merangkumi RM25,000 untuk kes kematian, RM8,000 hingga RM11,000 untuk hilang upaya kekal dan RM1,000 bagi kecederaan ringan.
Tabung Kebajikan PDRM menyalurkan sumbangan RM1,200 kepada setiap waris.
Skim Ex-Gratia Bencana Kerja menyediakan pampasan pukal RM20,000 dan bayaran bulanan kepada waris yang layak.
Kecederaan melebihi 21 peratus menerima pampasan bulanan dan pukal, manakala kecederaan bawah 20 peratus hanya layak pampasan bulanan.
Koperasi PDRM menyalurkan khairat kematian RM1,500 dan pampasan insurans antara RM36,000 hingga RM211,000 bergantung kepada caruman.
IPK Perak turut menyumbang RM11,000 kepada setiap waris dengan bayaran pendahuluan RM2,000.