WHO: Mpox Masih Kecemasan Kesihatan Global

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa mpox masih menjadi kecemasan kesihatan global susulan peningkatan kes dan penyebaran lebih meluas.
Menurut WHO, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa kecemasan yang mendapati situasi masih memenuhi kriteria Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).
Antara faktor utama adalah peningkatan kes, ketidakstabilan di timur Republik Demokratik Congo (DRC) yang menyukarkan tindak balas, serta kekurangan dana.
Mpox, sejenis virus dalam keluarga cacar, boleh merebak melalui haiwan atau kontak fizikal rapat. Ia pertama kali dikesan pada manusia di DRC pada 1970 dan kini menular ke lebih 130 negara dengan hampir 128,000 kes dan 281 kematian.
Wabak terbaru bermula di DRC pada 2023 dengan dua varian – clade 1a dan clade 1b – yang kini telah merebak ke 15 negara. Tahun ini sahaja, DRC melaporkan lebih 13,000 kes dan 43 kematian.
WHO pertama kali mengisytiharkan kecemasan global pada Julai 2022 tetapi menarik balik status itu pada Mei 2023 selepas program vaksinasi dan kesedaran berjaya mengawal penularan. Bagaimanapun, dengan wabak baharu yang semakin merebak, WHO mengembalikan status kecemasan pada Ogos lalu.